Berbuat baik kerana Tuhan?

Malam tanpa cahaya itu sungguh menyedihkan. Seolah kau perlu merangkak meski kakimu bisa berjalan dengan normal. Tiada sinar bintang menemani. Apatah lagi cahaya bulan yang menerangi. Hanya air mata yang mengalir di pipi. Serena sungguh kecewa pada malam itu. Dia mahu mengadu pada Tuhan bahawa mengapa dirinya diuji sebegini. Dia mahu meratapi akan nasib dirinya. Sungguh, dia lelah akan segala ujian. Matanya penat untuk memberi keizinan kepada sang hujan untuk tetap merintih pada setiap malamnya. Dia merenung akan kucingnya, mahu meminta belas ehsan dan kasih si Jelita tetapi sama sahaja. Jelita juga tidak menghiraukannya lantas terbaring di lantai seolah-olah Jelita tidak melihat akan air mata yang turun di pipinya. 

Serena sedar bahawa kasihnya pada manusia sekeliling yang mematikan dirinya. Bukan kerana kasih itu yang membawa jiwanya pergi tetapi manusia yang tidak pernah menghargai. Mungkin menghargai manusia lain itu payah buat mereka. 

"Ahh, aku tak tahu. Kenapa aku sering diuji dengan perkara sebegini?"

Serena buntu. Air mata terus mengalir meski senyuman tetap diusahakan untuk terbit di bibirnya. Dia merasakan bahawa air mata itu sahabat baiknya. Kerana air mata lebih banyak menemani dirinya jika dibandingkan dengan sahabat-sahabat yang dikasihinya. 

"Berkasih biar berpada, menuai sayang biar sesuai kadarnya." 

Kelak nanti memakan diri. Bukan diri sahaja yang terseksa, malah jiwa dan hatimu bakal mati. Serena sedar bahawa dia masih punya Tuhan. Tuhan yang sentiasa ada, sentiasa berkuasa, sentiasa menyayangi. Cuma terkadang dia merasakan bahawa dirinya mendekati Tuhan itu hanya kerana ujian dan bukan cinta yang tulus kepada Yang Maha Esa. Serena keliru. Apa yang perlu dilakukannya? Meneruskan tebaran kasih pada manusia meski dirinya disakiti? Bagaimana dirinya mahu tetapkan jiwanya untuk melakukan ini semua hanya kerana Tuhan?

Serena keliru dan berada di tengah-tengah jalan mati. 

"Apakah erti sebenar berbuat baik pada manusia bukan kerana kebaikan manusia itu sendiri tetapi berbuatlah baik kerana Tuhan?"

11 Mei 2019

9:45 pm

Comments